Meninggalkan taasub di sini bermaksud meninggalkan taasub pendapat sendiri, mazhab dan golongan serta tokoh tertentu sahaja tanpa diperhatikan pendapat dan pandangan orang lain. Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qarahawi telah menjelaskan di dalam kitabnya al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyruk Wa al-Tafarruq al-Mazmum:
Seseorang harus melepaskan dirinya daripada taasub terhadap pendapatnya sendiri. Ini disebabkan orang yang tidak dapat melepaskan diri daripada taasub ini akan sentiasa mempertahankan pendapatnya sendiri walaupun dia mengetahui pendapatnya salah dan lemah penjelasannya. Ia hanyalah ingin memenangkan hawa nafsunya, memandang rendah pendapat orang lain dan takut dituduh kurang kefahaman.
Sebagai seorang umat Islam yang tidak mampu untuk berijtihad maka selayaknyalah kita mengikut mana-mana pandangan dan ijtihad daripada imam-imam mazhab. Mazhab ini sebagai salah satu jalan keluar bagi golongan awam beramal dengan syariat Islam secara lebih berkesan. Namun terdapat segelintir umat Islam terutamanya masyarakat awam yang begitu taasub dengan mazhabnya lantas menyalahkan mazhab lain yang tidak secocok dengan mazhabnya. Ini merupakan satu fanomena tidak sihat yang perlu diberikan perhatian oleh setiap alim ulama setempat.
Terdapat juga segelintir dari kalangan umat Islam yang begitu taasub dengan golongan dan tokoh tertentu lantas bertindak merendah-rendah dan memperlekehkan pandangan dan pendapat lain yang tidak sealiran dengan pendapat golongan dan tokoh mereka. Jika masalah ini tidak ditangani dengan bijaksana dan adab-adab maka sudah pastilah akan berlaku perbalahan dan pergaduhan yang tidak mendatangkan nilai tambah kepada Islam. Mereka mengajak orang lain untuk tidak taasub dengan pandangan tokoh lain, namun di dalam masa yang sama mereka tidak melarang orang lain untuk bertaasub kepada mereka. Jadilah mereka juga seorang taasub!
Berkata Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi:
"Anehnya mereka mengecam para pengikut mazhab kerana bertaklid kepada para imamnya sementara mereka sendiri menuntut semua orang agar bertaklid dan mengikut mereka."
(Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyruk Wa al-Tafarruq al-Mazmum).
No comments:
Post a Comment